Di kawasan Teluk Sanniang, terdapat beratus-ratus ekor dolfin putih ini. Dolfin-dolfin ini suka mengekori perahu dalam laut. Jadi, apabila pelancong melawat ke sini, mereka sentiasa boleh melihat dolfin bermain-main di dalam laut.
Nama Teluk Sanniang ini berasal daripada satu cerita yang tersebar dalam kalangan penduduk tempatan. Kononnya, ada tiga orang lelaki menangkap ikan di laut dengan menaiki perahu, dan mereka tidak dapat pulang. Isteri ketiga-tiga lelaki ini menunggu kepulangan suami mereka di tepi pantai dan memandang jauh ke tengah laut tiap-tiap hari. Hari berganti hari, dan tahun berganti tahun, suami mereka masih belum pulang. Ketiga-tiga wanita ini telah menjadi tiga buah batu besar. Oleh yang demikian, penduduk di tempat ini menamakan kawasan ini Teluk Sanniang, yang bermaksud tiga orang wanita yang menyayangi suami. Tiga buah batu besar tersebut juga dikenali sebagai Batu Sanniang. Selain tiga buah batu tersebut, terdapat juga banyak batu yang beraneka bentuk di Teluk Sanniang ini.
Setelah berkunjung ke kawasan penempatan etnik Gin dan Teluk Sanniang, mari ikuti saya meneruskan perjalanan ke bandar Beihai. Beihai merupakan sebuah semenanjung yang berhadapan dengan laut dari tiga hala. Bandar peranginan ini mempunyai iklim yang nyaman sepanjang tahun. Udaranya bersih, air tidak tercemar, mutu udara dan airnya telah mencapai piawaian tertinggi negara. Udara di bandar ini mengandungi 2,500 hingga 5,000 ion negatif setiap sentimeter padu, iaitu 50 hingga 100 kali ganda berbanding kawasan pedalaman China. Maka Beihai juga dikenali sebagai "Bandar Bar Oksigen" terbesar di China.
Di bandar ini, kita dapat melihat tanah yang berwarna hitam kemerah-merahan, air laut yang berwarna biru, pasir pantai yang putih dan halus, serta pokok-pokok kelapa sawit yang menghijau. "Pantai Putih" di Beihai ini luas, pasirnya juga halus, air lautnya bersih dan ombaknya "lemah lembut".
Pelancong A.S., Johny Loop memberitahu pemberita: "Beihai amat indah. Kawan saya memberitahu saya bahawa saya mesti melawat Beihai kerana kota ini sungguh cantik sekali."